Puad dakwa Onn Hafiz takut debat dengan Maszlee

Puad Zarkashi Onn Hafiz Ghazi
Puad Zarkashi dakwa Onn Hafiz Ghazi pernah menunjukkan sikap kurang terbuka terhadap perbahasan ketika beliau menjadi speaker DUN Johor bagi penggal 2022-2026.

PETALING JAYA: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi mendakwa Onn Hafiz Ghazi ‘takut’ berdebat dengan Maszlee Malik selepas pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu berkata debat bukan pendekatan sesuai dalam budaya politik negeri berkenaan.

Puad berkata alasan ‘bertikam lidah’ atau berdebat bukan cara Johor tidak wajar digunakan untuk menolak cadangan itu.

Ujarnya, debat sepatutnya dilihat sebagai ruang untuk mengemukakan hujah dan rasional, selain memberi peluang kepada rakyat menilai pemimpin serta tawaran politik masing-masing.

“Kalau takut Onn Hafiz boleh hantar Dr Akmal Saleh (ketua Pemuda Umno) sebagai wakil.

“Dia memang berani, cuma berani tidak bertempat,” katanya secara sinis di Facebook.

Isu debat itu timbul selepas Maszlee, calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Puteri Wangsa, menyatakan kesediaan berdebat dengan Onn Hafiz menjelang PRN Johor susulan cadangan sebuah halaman Facebook, WOW Malaysia.

Semalam, Onn Hafiz dilaporkan berkata debat terbuka bukan pendekatan sesuai kerana boleh membawa kepada suasana tidak harmoni.

Puad turut mendakwa Onn Hafiz pernah menunjukkan sikap kurang terbuka terhadap perbahasan ketika beliau menjadi speaker DUN Johor bagi penggal 2022-2026.

Katanya, Onn Hafiz pernah tidak mahu perbahasan Enakmen Adun Lantikan dibuka kepada masing-masing dua wakil dari kerajaan serta pengimbang sedangkan pentadbirannya disokong majoriti dua pertiga.

Beliau juga mendakwa Onn Hafiz ada kalanya meminta masa sesi soal jawab lisan atau perbahasan dipendekkan, namun permintaan itu tidak dipersetujui.

“Saya kata tidak boleh. Tidak adil kepada YB yang menyediakan soalan. Ia juga merendahkan martabat DUN kerana nadi dewan ialah soalan lisan daripada wakil rakyat,” dakwanya.

Puad turut mencabar Onn Hafiz berdebat dengannya jika tidak mahu berdepan Maszlee.

“Kalau tidak berani dengan Dr Maszlee, berdebat dengan saya pun ok juga,” katanya.

Author: admin