PAS tetap sokong Bersatu demi halang PH-DAP

AFNAN HAMIMI
Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata agenda lebih besar ketika ini ialah memastikan PH tidak menang khususnya DAP.

BAKRI: Seorang pemimpin PAS menyifatkan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP sebagai musuh utama yang mewajarkan kebersamaan dengan Bersatu walaupun kerjasama politik antara keduanya sudah dihentikan.

Ketua Pemuda, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata agenda lebih besar ketika ini ialah memastikan PH tidak menang khususnya DAP.

Katanya, atas sebab itu ahli dan penyokong PAS masih perlu mengundi calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi ditandingi gabungan berkenaan, termasuk daripada Bersatu.

“Di kerusi PN bertanding, kena undi calon PN. Orang PN kena undi calon PN walaupun daripada parti rakan termasuk Bersatu.

“Yang penting jangan bagi PH menang. Antara Bersatu dengan PH, PH lagi teruk. Bersatu masih ok walaupun kita sudah hentikan hubungan kerjasama politik,” katanya selepas menghadiri ceramah pentas anak muda dan himpunan jentera Pemuda di Simpang Jeram, malam tadi.

Afnan mengulas arahan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, ahli dan penyokong parti itu mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi tidak ditandingi PN.

Beliau berkata, arahan itu tidak bermaksud penyokong PAS boleh mengetepikan calon PN di kawasan lain.

Pada 8 Jun lalu PAS menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.

Bagaimanapun, kedua-dua parti itu masih kekal dalam PN dan bertanding pada PRN Johor menggunakan lambang gabungan sama.

PAS sebelum ini turut memaklumkan tidak akan membantu kempen calon Bersatu pada PRN Johor.

Author: admin