
JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Johor merampas 12 juta batang rokok putih seludup bernilai RM13.46 juta di sebuah gudang dalam kawasan zon bebas Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Gelang Patah, dekat Iskandar Puteri.
Pengarahnya, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi, berkata semua rokok itu ditemui dalam sebuah kontena hasil pemeriksaan Unit Kawalan Kontena Cawangan Penguatkuasaan Gelang Patah pada 2.30 petang 8 Jun lalu.
Beliau berkata, siasatan mendapati kontena dari China itu transit di PTP sebelum ke destinasi terakhir di Lisbon, Portugal.
“Semakan mendapati kontena itu diikrarkan melalui borang ‘manifest transhipment’ sebagai membawa dagangan Photovoltaic System Components atau komponen panel solar.
“Bagaimanapun, sindiket terlibat dipercayai membuat pengikraran tidak benar terhadap dagangan bagi menyeludup rokok tidak berkastam,” katanya dalam sidang media di sini.
Rokok itu dianggarkan bernilai RM4.8 juta dengan anggaran duti dan cukai berjumlah RM8.66 juta, menjadikan keseluruhan nilai sitaan RM13.46 juta.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan sindiket serta pemilik premis gudang itu untuk siasatan mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.
