Utama kepentingan nasional, BN-PH ‘tak serang’ pada PRN Johor, tegas Zahid

zahid hamidi
Presiden Umno Zahid Hamidi, berkata semua parti dalam kerajaan perpaduan mengutamakan kepentingan lebih besar di peringkat nasional, dengan berkempen memperkenalkan calon serta menawarkan khidmat kepada rakyat.  (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mencapai persefahaman tidak menyerang satu sama lain pada PRN Johor meskipun bertembung di semua 56 DUN, kata Presiden Umno Zahid Hamidi.

Katanya, sebaliknya parti bertanding akan memberi tumpuan kepada memperkenalkan calon serta menawarkan khidmat kepada rakyat.

Zahid, yang juga pengerusi BN, berkata pendekatan tersebut dipersetujui semua parti dalam kerajaan perpaduan kerana mengutamakan kepentingan lebih besar di peringkat nasional.

“Ya, kita berkawan dan berlawan dalam gelanggang sama, dengan rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan di peringkat pusat. Namun, kesefahaman itu telah kita tanamkan supaya kita tidak serang pihak lawan walaupun berbeda pandangan dan pendapat untuk Johor.

“Kerana kita harus melihat pada gambaran lebih besar di peringkat nasional nanti. Ini sangat difahami oleh kepimpinan utama parti-parti yang berada di dalam kerajaan perpaduan,” katanya menurut Utusan Malaysia, di Benut, sambil menyeru kepada kempen penuh kesantunan dan berhemah.

Dalam pada itu, Zahid nafi BN menjalinkan kerjasama dengan parti lain pada PRN Johor apabila kekal bertanding solo.

Beliau berkata, keputusan meletakkan calon di semua 56 DUN membuktikan BN tidak menggunakan lambang mana-mana parti lain.

“Saya tidak dengar tentang itu, mungkin perbincangan diadakan di peringkat bawahan dan hakikatnya, apabila disebut daripada awal oleh Onn Hafiz (Ghazi) bahawa kita mahu bergerak solo, terbukti kita letakkan calon di semua 56 kerusi DUN.

“Tiada seorang pun calon kita yang menggunakan lambang daripada parti lain. Mungkin ada perbincangan di peringkat lapisan ketiga atau keempat sebab politik, mesti ada perbincangan dengan beberapa kemungkinan,” katanya.

Author: admin