Ketua sindiket bergelar Datuk diberkas, dadah lebih RM6 juta dirampas

DATUK HUSSEIN OMAR KHAN
Pengarah JSJN Bukit Aman Hussein Omar Khan, berkata modus operandi sindiket adalah membeli pukal dadah sebelum dibungkus semula untuk dijual di pusat hiburan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ketua sindiket dadah bergelar Datuk diberkas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman disyaki aktif di Perak, Lembah Klang, dan Johor.

Individu berkenaan berusia 40-an itu antara 291 individu ditahan minggu lalu dalam Op Gaurus.

Pengarah JSJN Bukit Aman Hussein Omar Khan, berkata dalam operasi dijalankan pada 17 hingga 21 Jun itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin, serbuk dan cecair MDMA, ketamin, pil ekstasi, pil erimin 5 dan ganja bernilai RM6.26 juta serta menahan sembilan ahli sindiket lain.

“Modus operandi sindiket pengedaran dadah yang diketuai Datuk ini ialah membeli dadah secara pukal dan kemudian membungkus semula untuk dijual di pusat-pusat hiburan.

“Sindiket ini dipercayai aktif beroperasi di sekitar Perak, Lembah Klang, dan Johor sejak pertengahan 2024, selain memiliki pelbagai peralatan dan bahan kimia prekursor yang digunakan untuk memproses dadah,” katanya menurut Bernama pada sidang media, di Kuala Lumpur.

Hussein berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas pelbagai jenis kereta antaranya Nissan Sentra, Mazda, Maserati Ghibli, Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Mercedes Benz CL250 serta dua utas jam tangan Rolex dan wang tunai RM4,383.

Beliau berkata, suspek berusia 19 hingga 74 tahun itu direman dengan lima daripada mereka positif pelbagai jenis dadah dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 selain tindakan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 terhadap semua aset milik sindiket berkenaan.

Author: admin