STPM 2025 catat PNGK nasional 2.88, tertinggi sejak sistem baharu dilaksana

stpm
Seramai 40,199 calon daftar duduki STPM 2025, berbanding 42,861 calon pada tahun sebelumnya, menurut Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia Md Amin Md Taff. (Gambar Bernama)

GOMBAK: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 terus menunjukkan peningkatan apabila Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) nasional meningkat kepada 2.88 berbanding 2.85 tahun lalu, mencatatkan rekod tertinggi sejak sistem baharu peperiksaan itu diperkenalkan.

Pada majlis pengumuman keputusan STPM 2025 di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) hari ini, pengerusinya, Md Amin Md Taff berkata, seramai 1,336 calon atau 3.5% memperoleh PNGK 4.00, meningkat sebanyak 70 calon berbanding 2024.

Selain itu, tambahnya, secara keseluruhannya didapati peratusan calon memperoleh PNGK 3.75, PNGK 3.00, PNGK 2.75 dan PNGK 2.00 turut meningkat berbanding tahun lalu.

“Bilangan calon yang mendapat 5A dalam semua mata pelajaran yang diambil meningkat daripada 53 calon pada 2024 kepada 60 calon tahun ini,” katanya.

Bilangan calon yang mendapat 4A turut meningkat daripada 1,228 calon kepada 1,285 calon, tambahnya.

Peratusan calon yang lulus penuh dalam empat dan lima mata pelajaran turut meningkat kepada 77.64% berbanding 76.55% pada 2024, membabitkan 29,616 calon.

Mengulas lanjut, Md Amin berkata, seramai 40,199 calon mendaftar untuk menduduki STPM 2025 berbanding 42,861 calon pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 38,144 calon atau 94.89% hadir menduduki peperiksaan, dan 38,128 calon atau 99.96% daripada calon yang hadir layak dianugerahkan Sijil STPM 2025.

“Syarat layak untuk mendapatkan Sijil STPM ialah calon mesti memperoleh lulus sebahagian sekurang-kurangnya dalam satu mata pelajaran,” katanya.

Beliau menambah, kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam STPM 2025 mencatatkan peratusan lulus penuh lebih 70%.

Author: admin