
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Ilyas Jamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tujuh tuduhan rasuah membabitkan lebih RM1 juta berhubung tender menaik taraf Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil.
Ilyas, 42, mengaku tidak bersalah selepas kesemua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Kesemua tujuh tuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Bagi tuduhan pertama, Ilyas didakwa meminta RM1,005,000 daripada kontraktor Yap Yeow Kuen, 59, sebagai dorongan untuk melantik Aerolux Power Constructions Sdn Bhd sebagai pembida yang berjaya bagi projek bernilai RM8.73 juta untuk menaik taraf gelanggang dan kemudahan sukan di Pusat Skuasy Nasional di Kuala Lumpur Sports City.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat PSM di Sri Petaling pada 24 Feb lepas.
Bagi enam tuduhan selebihnya, Ilyas didakwa menerima suapan berjumlah RM450,000 daripada Yap menerusi tujuh transaksi antara 25 Feb dan 13 April sebagai dorongan berhubung projek sama.
Bayaran tersebut didakwa diterima di pejabat PSM dan di sebuah restoran di Pavilion Bukit Jalil.
BERITA LANJUT MENYUSUL
