Hamzah tiba untuk mesyuarat di ibu pejabat PAS

Bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, menyertai mesyuarat Ahli Parlimen pembangkang di ibu pejabat PAS.

KUALA LUMPUR: Bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, tiba di ibu pejabat PAS malam tadi untuk mesyuarat bersama Ahli Parlimen pembangkang.

Turut kelihatan, naib presiden PAS yang juga pengerusi Perikatan Nasional iaitu Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Sanusi Nor.

Terdahulu, FMT melaporkan satu mesyuarat melibatkan Ahli Parlimen pembangkang diadakan di ibu pejabat PAS malam ini, berlatarkan kemelut antara PAS dan Bersatu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin, ketika ditemui memaklumkan mesyuarat ini akan membincangkan ‘semua perkara’, manakala Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari berkata undangan ke mesyuarat dipanjangkan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Selain Hamzah, turut kelihatan Ronald Kiandee (Beluran), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), dan Abdul Khalib Abdullah (Rompin).

Khalib ketika ditemui berkata mesyuarat malam ini mungkin membincangkan kedudukan ketua pembangkang, dan tempat duduknya.

“Ia perlu suara majoriti Ahli Parlimen,” katanya kepada pemberita.

Pada 13 Jun lalu, PAS mengumumkan ia bersetuju meneruskan Hamzah sebagai ketua pembangkang, pada satu konvensyen yang menyaksikan pelancaran parti baharu beliau, Parti Wawasan Negara.

PN mengumumkan Hamzah bukan lagi ketua pembangkang pada April. Samsuri mengambil alih peranan tersebut pada Mei.

Hamzah melepaskan jawatan di sebalik desakan pemimpin Bersatu, selepas beliau dipecat keahlian susulan krisis kepimpinan dengan Presiden Muhyiddin Yassin.

Author: admin