2 pekerja penyelenggaraan parah lif jatuh dari tingkat 7 hotel

Dua pekerja parah, lif terhempas di hotel Melaka
Anggota bomba mengeluarkan dua pekerja penyelenggaraan yang parah selepas terperangkap bawah lif yang jatuh dari tingkat tujuh sebuah hotel di Melaka. (Gambar JBPM)

MELAKA: Dua pekerja syarikat penyelenggaraan lif warga India cedera parah selepas terperangkap di bawah lif yang terjatuh dari tingkat tujuh sebuah hotel di Jalan Syed Abdul Aziz pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba Melaka, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata kejadian dilaporkan berlaku ketika kedua-dua mangsa berusia 27 tahun itu sedang melakukan kerja-kerja pembaikan lif tersebut.

Beliau berkata Balai Bomba Melaka Tengah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.55 pagi sebelum dua jentera dengan kekuatan lapan anggota digerakkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati kedua-dua mangsa terperangkap di bawah runtuhan lif yang jatuh dari tingkat tujuh bangunan hotel itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata anggota bomba mengambil masa kurang satu jam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang cedera parah sebelum mereka diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Author: admin