
PETALING JAYA: Exco Kedah Haim Hilman Abdullah berkata beliau sedia ke mahkamah demi mempertahankan dakwaan berkaitan sistem kemasukan ke universiti awam selepas Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pertimbang tindakan perundangan.
Haim yang juga Adun Jitra berkata, beliau menghormati hak KPT itu tetapi menegaskan bahawa beliau tidak akan menarik balik kenyataan tersebut.
“Jika KPT memilih untuk membawa perkara ini ke mahkamah, saya bersedia menjawabnya dengan data, fakta, dan bukti,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, isu dibangkitkannya itu bukan serangan terhadap universiti awam sebaliknya mempersoalkan keadilan, ketelusan, dan akses peluang pendidikan yang adil kepada rakyat Malaysia, khususnya anak muda daripada keluarga B40 dan M40.
Semalam, KPT memaklumkan sedang meneliti tindakan perundangan terhadap Haim Hilman berhubung kenyataannya dibuat menerusi rakaman video yang disiarkan di Facebook sempena ‘Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan’ pada 13 Jun lalu.
Menurutnya, Haim turut mendakwa wujud puluhan ribu pelajar memasuki institusi pendidikan tinggi awam melalui ‘pintu belakang’.
Beliau turut mendakwa kononnya universiti awam kini ‘menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit’.
Kementerian itu berkata, tuduhan berkenaan adalah tidak berasas, berniat jahat, dan boleh menjejaskan reputasi serta kredibiliti institusi pendidikan tinggi awam negara.
