Bekas hakim Mahkamah Persekutuan dilantik pengerusi Majlis Media Malaysia

Nallini Pathmanathan
P Nallini bersara daripada Mahkamah Persekutuan pada Februari lalu selepas 18 tahun berkhidmat dalam badan kehakiman.

PETALING JAYA: Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, P Nallini dilantik sebagai pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM).

Majlis itu dalam kenyataan berkata pelantikan Nallini itu dipersetujui sebulat suara oleh ahli lembaga pada mesyuarat 26 Mei lalu.

Jelasnya ia satu pencapaian penting dalam usaha meletakkan majlis itu sebagai badan bebas, berwibawa dan berpaksikan kepentingan awam dalam memantau standard industri media.

Menurutnya, pengalaman luas Nallini serta komitmen lamanya terhadap kebebasan kehakiman, kedaulatan undang-undang dan akses kepada keadilan menjadikan beliau tokoh yang sesuai untuk menerajui organisasi itu ketika ia mula melaksanakan mandatnya di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025.

Ditubuhkan sebagai badan kawal selia kendiri bagi industri media, MMM bertanggungjawab menggalakkan kewartawanan beretika, memperkukuh standard profesional, mengurus mekanisme aduan awam dan mempertahankan kebebasan media.

MMC berkata pelantikan Nallini dibuat ketika industri media berdepan pelbagai cabaran, termasuk tekanan kewangan terhadap organisasi berita, perubahan teknologi yang pesat, kemunculan kecerdasan buatan, penyebaran maklumat palsu, ancaman terhadap wartawan, serta kemerosotan kepercayaan awam terhadap media berita.

Nallini bersara daripada Mahkamah Persekutuan pada Februari lalu selepas 18 tahun berkhidmat dalam badan kehakiman, merangkumi ketiga-tiga peringkat mahkamah atasan negara.

Beliau membuat kira-kira 325 penghakiman termasuk beberapa keputusan penting melibatkan undang-undang perlembagaan dan komersial.

Beliau turut mencatat sejarah sebagai wanita pertama daripada etnik Asia Selatan dilantik ke badan kehakiman atasan Malaysia.

Sebelum dilantik sebagai hakim, Nallini menghabiskan lebih dua dekad dalam amalan guaman swasta bersama firma Messrs Skrine.

Sejak bersara, beliau berkhidmat sebagai penimbang tara dan pengantara.

Kredibiliti undang-undangnya di peringkat antarabangsa termasuk pernah berkhidmat sebagai naib pengerusi Forum Hakim Persatuan Peguam Antarabangsa, menjadi ahli kumpulan pemandu Standing International Forum of Commercial Courts, serta memegang peranan kehakiman di Qatar International Court and Dispute Resolution Centre.

Author: admin