Zaid Ibrahim akan sertai PAS, menurut laporan

zaid
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim antara nama disebut akan menyertai PAS, malam tadi.

PETALING JAYA: PAS mengumumkan bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, akan menyertainya, menurut laporan.

Beliau antara 14 nama yang disebut pada ceramah menjelang PRN Negeri Sembilan, di Seremban, malam tadi, yang dihadiri Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, lapor Malaysia Gazette.

Zaid pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Bharu (2004-2008), dan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Mac-September 2008) semasa pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau juga pernah menjadi ahli Umno, PKR dan DAP, serta mengasaskan Parti Kesejahteraan Insan Tanah.

Turut dinamakan dalam laporan itu adalah Hamidah Othman iaitu bekas exco Perak dan bekas naib presiden Bersatu, serta bekas pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rosli Yaakop.

Terdahulu, Presiden PAS Hadi Awang mengumumkan beberapa individu termasuk bekas menteri, bekas exco dan ahli politik akan menyertai partinya, pada konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan.

Author: admin