Bersatu perlu sedia tanding PRN guna logo sendiri, kata penganalisis

bersatu
Bersatu tidak pernah bertanding guna logo sendiri dalam pilihan raya sejak ditubuhkan pada 2016.

PETALING JAYA: Bersatu perlu bersedia menggunakan logo parti itu pada PRN Negeri Sembilan dan Johor jika berlaku keadaan luar jangka berhubung keanggotaannya dalam Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis.

Sekiranya berlaku, parti pimpinan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin itu akan bertanding buat kali pertama menggunakan logo sendiri sejak ditubuhkan pada 2016.

Merujuk ‘kemungkinan pengiktirafan dari segi keanggotaan PN’ kepada gerakan Reset diketuai Hamzah Zainudin dalam satu majlis di Kelantan, hari ini, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad berkata keadaan itu akan memberi kesan kepada Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, keadaan itu mungkin berlaku memandangkan kehadiran Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar seperti diuar-uarkan dan terutama Presiden PAS Hadi Awang yang sebelum ini mengkritik hebat Bersatu selain mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan parti terbabit.

“Hakikatnya, Bersatu berdepan dilema besar. Jika PAS tidak memberi laluan, Bersatu tiada pilihan selain kembali kepada logo parti sendiri.

“Kembali ke logo asal akan menguji sejauh mana pengundi masih melihat Bersatu sebagai entiti relevan, bukan sekadar parti menumpang bawah jenama PN,” kata penganalisis dari Global Asia Consulting itu kepada FMT.

Ketua Bersatu Negeri Sembilan, Hanifah Abu Baker, pada Rabu dilaporkan berkata parti itu akan terus menggunakan platform PN kerana kerusi dimenangi pada PRN lalu diperoleh atas tiket gabungan berkenaan.

Kenyataan itu menyusul keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu beberapa minggu selepas Hadi mengkritik hebat rakan komponennya dalam PN yang didakwa tidak mengamalkan semangat setia kawan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN Johor pada 11 Julai manakala 1 Ogos bagi proses pilihan raya DUN Negeri Sembilan.

Pada PRU14, semua calon Bersatu termasuk pengasasnya Dr Mahathir Mohamad bertanding atas tiket PKR manakala Pakatan Harapan (PH) ketika PRK Semenyih dan Tanjung Piai.

Sementara itu, pada PRU15 Bersatu menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata pendirian Bersatu untuk terus bergantung kepada logo PN seperti disuarakan Hanifah menunjukkan parti masih kurang yakin terhadap kekuatan jenamanya sendiri.

Katanya, PAS mungkin tidak mempunyai masalah bertanding menggunakan logo sendiri kerana sudah lama dikenali dan mempunyai nilai tersendiri dalam kalangan penyokong.

“Perkembangan itu memperlihatkan dilema Bersatu ketika hubungan dengan PAS semakin tegang, sedangkan parti itu masih mahu mengekalkan jenama PN pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Author: admin