
IPOH: Suspek lelaki yang dipercayai terlibat kes tikam hingga maut seorang lelaki di Kilometer 12, Jalan Trans Perak dekat Kampung Gajah, berjaya ditahan semalam.
Ketua Polis Perak, Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan di Terminal Bas Perlis Sentral, Kangar di Perlis kira-kira 3.45 petang oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak dan JSJ Perlis.
Beliau berkata, polis turut menemukan sebilah pisau yang telah dibuang oleh suspek dalam sebuah tong sampah di bandar Kangar.
“Suspek berjumpa dengan bekas teman wanitanya berusia 25 tahun untuk berbincang mengenai masalah hubungan mereka kira-kira 9 pagi pada Selasa lepas.
“Semasa pertemuan di kawasan sawah padi di Jalan Trans Perak, suspek bertindak mengugut dan merogol wanita tersebut di dalam kereta suspek,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak di Mes Pegawai Kanan Polis di Jalan Sultan Azlan Shah.
Mengulas lanjut, Alwi berkata kira-kira 5 pagi pada Rabu lepas, suspek menghantar bekas teman wanitanya ke kereta, tiba-tiba seorang lelaki yang merupakan teman lelaki kepada wanita tersebut datang untuk berjumpa suspek namun suspek bertindak melarikan diri dengan memandu kereta miliknya.
Beliau berkata, lelaki itu mengejar suspek dan berjaya melanggar serta menghalang kereta suspek sehingga berhenti dan suspek terus bertindak menyerang lalu menikam mangsa dengan sebilah pisau di bahagian perut.
“Suspek melarikan diri dengan kereta milik mangsa sebelum meninggalkan kereta tersebut di Persiaran Batu Gajah Perdana di Batu Gajah.
“Dengan tertangkapnya suspek, kes bunuh dan rogol berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang dari 24 jam. Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 kanun sama,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Perak Tengah, Hafezul Helmi Hamzah, dilaporkan berkata seorang lelaki berusia 29 tahun meninggal dunia selepas parah akibat ditikam dalam pergaduhan dengan suspek dalam kejadian Rabu lepas.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa sempat dibawa ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Siasatan/Perundangan) Mohd Ridzuan Nor Ihsan memangku ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak menggantikan Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah yang akan bersara wajib pada 18 Jun ini.
