
KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat dakwaan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan ketua sebuah balai polis di ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata siasatan itu dijalankan bagi mengesahkan dakwaan berkenaan.
“Ketua polis daerah dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard sudah diarahkan menyiasat perkara itu.
“siasatan masih berjalan,” katanya selepas melancarkan kempen kesedaran keselamatan di sini.
Beliau berkata keterangan pegawai terbabit sudah diambil, dan pegawai itu masih bertugas seperti biasa.
“Jika kita dapati berlaku kesalahan, tindakan akan diambil,” katanya.
Baru-baru ini timbul dakwaan seorang inspektor polis memaksa orang bawahannya mengutip ‘wang perlindungan’ daripada premis perjudian dan pusat urut sekitar Wangsa Maju.
Dakwaan itu dibuat menerusi tangkap layar yang tular di media sosial.
Turut didakwa, inspektor berkenaan mengarahkan orang bawahannya memeras ugut warga asing, selain membawa gadis pelayan (GRO) ke balai polis.
