
PETALING JAYA: Pemimpin Amanah berkata Pakatan Harapan (PH) belum merancang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata, tumpuan gabungan itu menjurus memperkukuh kekuatan PH sendiri berdepan sebarang kemungkinan politik selepas dua PRN tersebut.
“Setakat ini tidak ada apa-apa rancangan kerjasama dengan BN selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Minggu lalu, Pengerusi BN Zahid Hamidi, berkata gabungan itu bersedia untuk PRN Negeri Sembilan dan terbuka meneruskan kerjasamanya dengan PH bagi mengekalkan kerajaan perpaduan di negeri itu.
Namun, Zahid berkata masih terlalu awal mengadakan perbincangan rasmi mengenai pakatan pilihan raya antara keduanya.
Di Johor, Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi, berkata beliau lebih rela melepaskan jawatannya berbanding menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri melibatkan DAP. Kenyataan itu mengundang kritikan daripada penganalisis politik Tajuddin Rasdi, yang menuduh Onn Hafiz mempamerkan ‘personaliti perkauman’.
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook turut menyindir pendirian Onn Hafiz, sambil menunjukkan bahawa pemimpin BN dan DAP kini duduk bersama dalam Kabinet persekutuan di bawah kerajaan perpaduan.
Onn Hafiz menolak dakwaan pendiriannya itu berpunca daripada keangkuhan atau perkauman, sebaliknya menegaskan ia berasaskan prinsip dan penghormatan terhadap mandat diberikan pengundi kepada BN.
Beliau berkata, kerjasama BN dengan PH di peringkat persekutuan timbul daripada situasi politik selepas PRU15, di mana tiada gabungan berjaya memperoleh majoriti mudah.
Katanya, situasinya berbeza di Johor kerana BN telah diberikan mandat jelas pada PRN lalu.
