Penyatuan ummah tidak bergantung kepada MN, kata pemimpin PAS

Muafakat Nasional (MN) dibentuk pada 2019 namun tidak bertahan lama selepas PAS menyertai Perikatan Nasional bersama Bersatu.

PETALING JAYA: Penyatuan Melayu Islam tidak semestinya bergantung kepada Muafakat Nasional (MN), kata Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad, selepas Presiden Umno Zahid Hamidi menolak kemungkinan menghidupkan semula gabungan itu.

Iskandar berkata masih ada pelbagai pendekatan lain yang boleh diteroka jika matlamat utama adalah menyatukan umat Islam.

“Yang penting penyatuan ummah dan ini boleh dilakukan tanpa MN.

“Paling penting persefahaman di kalangan orang Melayu Islam, dengan mengenepikan perselisihan dan perbezaan bagi mencapai matlamat bersama,” katanya kepada FMT.

Zahid pada Selasa dilaporkan berkata Umno tidak berhasrat menghidupkan semula MN dalam apa juga bentuk, sambil menyifatkan kerjasama antara parti itu dengan PAS sudah berakhir.

MN dimeterai pada 2019 ketika kerajaan persekutuan diterajui Pakatan Harapan.

Namun, kerjasama itu tidak bertahan lama selepas PAS menyertai Perikatan Nasional bersama Bersatu pada tahun berikutnya.

Spekulasi mengenai kemungkinan MN dihidupkan semula timbul semula susulan keputusan PAS memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.

Author: admin