Penganggur didakwa bunuh rakan, sembunyi mayat dalam tilam

mahkamah
Kamil Harris Mohd Abd Nasir didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka atas tuduhan membunuh Mohd Idris Yasmir di sebuah rumah kedai pada akhir Mac lalu. (Gambar Facebook)

MELAKA: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan membunuh kenalannya di sebuah rumah kedai pada Mac lepas, yang mayatnya ditemukan dua bulan kemudian.

Kamil Harris Mohd Abd Nasir, 40, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kamil dituduh membunuh Mohd Idris Yasmir, 40, di Taman Seri Pandan 1, Jalan Pokok Mangga, antara 10 malam pada 30 Mac hingga 3 pagi, 31 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Nur Zaidah Muhamad Zailani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Akhbar sebelum ini melaporkan penemuan mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh, yang ditemukan dalam gulungan tilam dengan tangan terikat di sebuah rumah kedai di kawasan Pokok Mangga pada 7 malam 28 Mei lepas.

Author: admin