Lelaki ditetak kerana hon minta laluan

Video tular memaparkan seorang lelaki dalam keadaan terbaring di tepi laluan motor Lebuhraya Persekutuan dengan kelihatan seorang lagi lelaki lain sedang mengacu pisau pemotong daging ke arahnya.

SHAH ALAM: Seorang lelaki cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala dan lengan, selepas ditetak dengan pisau pemotong daging di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan mengahala Kuala Lumpur, berdekatan Seksyen 13, pagi tadi.

Ketua Polis Shah Alam, Sarudin Samah, berkata dalam kejadian kira-kira 7 pagi, mangsa warga tempatan berusia 45 tahun yang menunggang motosikal ke tempat kerja di ibu kota, membunyikan hon kepada seorang lelaki kerana dipercayai menghalang laluan.

“Suspek lelaki tempatan berumur 43 tahun yang juga menunggang motosikal, dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa kerana membunyikan hon.

“Akibat daripada itu, suspek berhenti di tepi jalan dan kemudian menetak mangsa dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging,” katanya dalam kenyataan.

Sarudin berkata, mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam bagi mendapatkan rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil, manakala suspek ditahan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436.

Terdahulu, tular video memaparkan seorang lelaki dalam keadaan terbaring di tepi laluan motor Lebuhraya Persekutuan dengan kelihatan seorang lagi lelaki lain sedang mengacu pisau pemotong daging ke arahnya.

Author: admin