
PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan perbicangan segera dengan rakan komponen susulan keputusan PAS menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu, kata Ketua Penerangan Annuar Musa.
Beliau berkata, setiap keputusan akan dibuat mengikut perlembagaan gabungan itu, bukannya secara individu atau oleh satu parti.
“Kedudukan PN akan dibincangkan bersama komponen PN, khususnya PAS, Gerakan, dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP). Perbincangan akan dilakukan pada minggu ini juga.
“PAS akan memastikan tindakan seterusnya dalam PN wajib berdasarkan perlembagaan PN dan bukan atas sikap superioriti individu atau mana-mana satu parti,” katanya dalam catatan di Facebook.
Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, berkata keputusan berhubung kerjasama politik diputuskan hanya melibatkan hubungan PAS dan Bersatu, sama sekali tidak membabitkan PN.
“PAS komited kepada politik kerjasama pelbagai kaum serta politik matang dan sejahtera. PAS menghargai sikap positif Gerakan dan MIPP dalam konteks PN. Kedua-dua parti ini mempunyai peranan besar yang boleh mereka mainkan dalam negara.
“Musyawarah PAS-Gerakan-MIPP telah diatur dan sedang disegerakan.”
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan walaupun PAS menghentikan kerjasama dengan Bersatu, hubungan antara ahli kedua parti itu tetap baik.
“Mengambil kira dan memahami masalah dalaman serta transisi yang dihadapi Bersatu, PAS kekal dengan sikap terbuka dan mesra terhadap semua ahli Bersatu.
“PAS mengambil kira ramainya ahli Bersatu yang masih mahu bekerjasama dengan PAS. Mereka dialu-alukan,” katanya sambil memaklumkan PAS akan terus berusaha menyatukan politik Melayu-Islam serta muafakat pelbagai kaum.
PAS bertindak menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu, beberapa minggu selepas Presiden Hadi Awang memberi amaran bahawa kesabaran ‘ada batas’.
