Menang tipis, krisis diraja, sukarkan Umno di N Sembilan

DUN Negeri Sembilan
Lapan daripada 14 kerusi DUN Umno di Negeri Sembilan dimenangi dengan majoriti bawah 700 undi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Umno dijangka berdepan tugas sukar pada PRN Negeri Sembilan, melihat kepada kemenangan majoriti tipis pada 2023 selain peralihan sentimen Melayu susulan krisis diraja di negeri itu baru-baru ini, menurut penganalisis.

Syaza Shukri.
Syaza Shukri.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, Umno nampak lebih terdedah berbanding rakan kerajaan perpaduannya, Pakatan Harapan (PH), akibat saingan sengit yang sebelum ini diberikan Perikatan Nasional (PN).

“Umno menghadapi masalah. Majoriti dimenangi mereka sebelum ini kecil kerana berdepan saingan sengit PN untuk undi Melayu,” katanya kepada FMT.

Sebaliknya, kata Syaza, PH dalam kedudukan lebih baik untuk mempertahankan kebanyakan kerusi dimenangi pada PRN tiga tahun lalu.

“Kebanyakan kerusi dimenangi PH pada 2023 diperoleh dengan majoriti besar, khususnya oleh DAP.”

DUN Negeri Sembilan dibubarkan Jumaat lalu selepas Adun Umno menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun dengan alasan cara beliau mengendalikan krisis diraja melibatkan empat undang yang cuba menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Pada 9 Jun, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata Barisan Nasional (BN) bakal bertanding solo dalam PRN Negeri Sembilan, selepas PH mengumumkan hasrat bertanding di semua 36 kerusi DUN negeri itu.

PH dan BN berganding bahu pada PRN 2023 dan masing-masing menang 17 serta 14 kerusi. PN menang lima kerusi, dengan tiga diperoleh PAS manakala dua Bersatu.

Bagaimanapun, lapan kerusi BN dimenangi dengan majoriti bawah 700 undi iaitu Jeram Padang (6930), Lenggeng (685), Senaling (662), Palong (564), Sungai Lui (535), Seri Menanti (370), Kota (135), dan Juasseh (78).

Sementara itu hanya dua kerusi daripada 17 kerusi PH dimenang dengan tipis iaitu Klawang (577) dam Ampangan (329).

Syaza berkata, kerusi BN yang kebanyakannya di kawasan majoriti Melayu, berisiko terkesan sekiranya sokongan beralih walaupun sedikit, malah Umno juga mungkin berdepan kesukaran disebabkan peranannya dalam krisis diraja berkenaan.

“Mengikut pemahaman dan pengamatan saya, rakyat tidak senang dengan krisis itu dan menyalahkan Umno. Jadi pengundi akan mahu menghukum Umno,” katanya.

Rasa simpati krisis diraja

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, pertikaian diraja itu meraih simpati untuk Tuanku Muhriz dalam kalangan rakyat Negeri Sembilan, yang turut mengakibatkan persepsi negatif segelintir pengundi terhadap Umno.

Mazlan Ali
Mazlan Ali.

“Ini mungkin memberi kesan terhadap Umno kerana wujud persepsi dalam kalangan orang ramai bahawa parti itu tidak mesra dengan Yang di-Pertuan Besar,” katanya.

Bagaimanapun, Hisomudddin Bakar dari Ilham Centre berpendapat, keputusan PRN akan bergantung kepada jumlah yang keluar mengundi dan lokasi mereka.

Hisomuddin Bakar
Hisomuddin Bakar.

Katanya, kekuatan PH terletak di kawasan pengundi bandar dengan majoriti Cina atau campuran, manakala Umno kekal kompetitif di banyak kawasan majoriti Melayu yang mempunyai sokongan tradisi rangkaian akar umbi.

Daripada 36 kerusi, 24 mempunyai pengundi majoriti Melayu, sekali gus menjadi tempat pertarungan utama dalam pilihan raya itu, katanya.

“Walaupun BN dan PH masing-masing mempunyai kekuatan sendiri, yang menjadi penentu sebenarnya 24 kerusi majoriti Melayu yang bakal melihat pertandingan tiga penjuru.

“Keupayaan kedua-dua pakatan ini menguruskan strategi kempen, menggerakkan pengundi mereka dan memenangi hati pengundi atas pagar bakal menjadi faktor penentu utama,” katanya.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia pula berkata, PH kekal dilihat berpotensi menang dalam PRN ini kerana ada kelebihan pada kerusi disandangnya.

Sivamurugan Pandian
Sivamurugan Pandian.

Katanya, rangkaian kukuh PKR dan DAP di Negeri Sembilan, digabungkan dengan kepemimpinan Aminuddin, meletakkan pakatan itu dalam kedudukan yang lebih kuat.

Bagaimanapun beliau mengingatkan isu kos sara hidup dan ketegangan antara penyokong PH dan BN mungkin mempengaruhi sikap pengundi.

“PH kekal menjadi pilihan, namun tetap berdepan risiko,” katanya.

Author: admin