London tempat sesuai dengar saman 1MDB, kata firma guaman UK

1mdb
Firma guaman Britain White & Case LLP bertindak untuk PetroSaudi dalam dua urusan dengan 1MDB. (Gambar Reuters)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa London adalah tempat sesuai untuk mendengar saman yang difailkan oleh 1MDB terhadap firma guaman UK White & Case LLP, kerana punca tindakan yang didakwa berlaku di sana.

Peguam Cyrus Das yang mewakili White & Case berkata firma tersebut tidak cuba mengelak daripada saman, tetapi menegaskan bahawa Malaysia bukan tempat yang sesuai untuk perbicaraan kes itu.

“Kami tidak menutup peluang plaintif (1MDB). Kami hanya mahu kes ini didengar di London,” katanya ketika penghujahan dalam rayuan firma itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menetapkan Malaysia sebagai tempat sesuai.

Das berhujah bahawa adalah tidak adil untuk perbicaraan diteruskan terhadap defendan asing tanpa asas yang kukuh.

Peguam kanan itu berkata White & Case hanya disaman kerana menyediakan perjanjian jualan saham dan pinjaman bagi dua syarikat milik anak guamnya di London antara 2009 hingga 2010.

Beliau berhujah bahawa keseluruhan saman itu berdasarkan inferens dalam afidavit dan firma guaman itu tidak boleh dipertanggungjawabkan atas tindakan anak guamnya

“Sejak bila firma guaman dipertanggungjawabkan atas kesalahan anak guamnya?” soalnya.

Hakim Alwi Abdul Wahab mengetuai panel tiga hakim yang turut dianggotai oleh Hakim K Muniandy dan Aliza Sulaiman.

1MDB memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2024, menuntut ganti rugi sebanyak USD1.83 bilion dan USD33 juta daripada White & Case serta Patrick Mahony, pengarah PetroSaudi International Ltd.

Dana itu mendakwa White & Case membantu PetroSaudi melakukan penipuan dan berkomplot untuk merugikan 1MDB ketika bertindak sebagai penasihat undang-undangnya.

Tuduhan salah laku itu berkaitan dua transaksi korporat — usaha sama 2009 dengan PetroSaudi International dan penstrukturan semula pegangan 1MDB pada 2010 dalam usaha sama tersebut — yang didakwa menyebabkan kerugian besar.

Das juga berhujah bahawa tuntutan tersebut telah luput tempoh di bawah had masa enam tahun, dengan menyatakan 1MDB telah mengetahui salah laku itu beberapa tahun lebih awal apabila USD700 juta dipindahkan kepada pihak yang salah.

“Pengarah yang munasabah dan jujur gagal menjalankan usaha wajar walaupun yakin sesuatu tidak kena,” katanya.

Peguam Lim Chee Wee yang mewakili 1MDB berhujah bahawa Malaysia adalah tempat paling sesuai kerana dakwaan penipuan dilakukan terhadap entiti berkaitan kerajaan Malaysia.

“Dana yang diselewengkan berasal dari Malaysia, kerugian dialami di Malaysia dan elemen utama skim penipuan berlaku di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pelaku utama, termasuk bekas perdana menteri dan menteri kewangan, berada di Malaysia dan pelanggaran kewajipan fidusiari juga berlaku di sini.

“Majoriti saksi penting juga berada di Malaysia. Begitu juga beberapa prosiding berkaitan yang timbul daripada skim penipuan yang sama,” katanya.

Lim turut berhujah bahawa pengarah PetroSaudi Tarek Obaid dan klien White & Case iaitu entiti PetroSaudi telah menerima bidang kuasa mahkamah Malaysia.

Beliau berkata di bawah Perkara 4(1) Peraturan Rome II, peraturan umum ialah undang-undang yang terpakai adalah undang-undang ‘negara di mana kesan buruk itu berlaku’, yang dalam kes ini ialah Malaysia.

“Dengan mengambil kira semua faktor relevan, tuntutan 1MDB terhadap White & Case akan ditadbir oleh undang-undang Malaysia walaupun di mahkamah England,” katanya.

Peguam Elizabeth Lau yang turut mewakili 1MDB berhujah bahawa isu had masa patut diputuskan di perbicaraan dan tuntutan mungkin termasuk dalam pengecualian di bawah Seksyen 29 Akta Had Masa.

Lau berhujah bahawa 1MDB sebagai entiti undang-undang tidak bertindak sendiri dan pengetahuan tentang salah laku tidak boleh dikaitkan kepadanya.

Beliau berkata bekas perdana menteri Najib Razak didakwa mengawal 1MDB melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan dan menghalang siasatan pada waktu itu.

Katanya, Najib hanya didakwa atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB selepas kerajaan Pakatan Harapan berkuasa pada Mei 2018.

Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan penghakiman.

Dalam keputusan sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi Leong Wai Hong memutuskan bahawa Malaysia adalah tempat sesuai, menyifatkannya sebagai ‘pusat’ pertikaian ituw dan membenarkan permohonan 1MDB untuk menggabungkan kes ini dengan saman berasingan terhadap Deutsche Bank melibatkan USD1.11 bilion.

Author: admin