
PETALING JAYA: Jabatan Perang Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan beberapa firma gergasi China termasuk platform e-dagang Alibaba dan pembuat kereta elektrik terkemuka BYD dalam senarai terkait ketenteraan negara itu.
Agensi itu yang dulunya dikenali Jabatan Pertahanan menyenaraikan firma terlibat sebagai amaran kepada organisasi AS mengenai risiko menjalankan perniagaan dengan firma tersebut, namun penyenaraian itu tidak bermakna mereka dikenakan sekatan serta-merta.
Menurut laporan BBC, Kedutaan China di AS berkata senarai itu berbentuk ‘diskriminasi’ dan menyatakan firma dari China sentiasa mematuhi undang-undang di luar negara dengan ketat.
BBC sudah menghubungi BYD dan beberapa firma tersenarai untuk ulasan lanjut dengan Wakil Alibaba menyatakan secara berasingan bahawa tiada asas untuk syarikat mereka disenaraikan.
Senarai berkenaan yang dikenali sebagai ‘Seksyen 1260H’, telah diumumkan dalam satu hantaran di ‘Federal Register’ pada Isnin lalu dan menamakan beberapa syarikat terkemuka China — satu tindakan berisiko memburukkan lagi ketegangan Washington dan Beijing.
Pentagon bertindak menandakan 188 ‘syarikat ketenteraan China’ yang dianggap mengundang risiko keselamatan negara kepada AS. Kebanyakan perniagaan itu terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menyediakan perkhidmatan komersial untuk AS.
Sesetengah daripada firma berkenaan bersaing secara langsung dengan syarikat besar AS dalam industri seperti kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI).
Mengambil contoh BYD, yang tidak mengeksport keretanya ke AS, sudah mengatasi Tesla awal tahun ini sebagai pengeluar gergasi dunia.
Dalam pada itu, jurucakap Alibaba dipetik BBC menyatakan firma tersebut ‘bukan satu daripada syarikat ketenteraan China mahupun sebahagian daripada apa jua strategi penyatuan ketenteraan-awam’.
“Kami akan mengambil semua tindakan undang-undang yang ada terhadap sebarang cubaan untuk memberi tanggapan salah terhadap syarikat kami,” kata jurucakap itu dipetik.
Sementara itu, jurucakap Baidu pula berkata, ‘tiada justifikasi munasabah’ untuk penyenaraiannya dan mereka akan ‘menggunakan semua pilihan yang ada’ untuk memadamkan nama platform tersebut daripada senarai.
Firma China lain yang turut berada dalam senarai itu termasuk pengeluar kereta elektrik Nio dan pengilang pesawat Comac.
Turut sedia ada tersenarai, syarikat teknologi Tencent dan Huawei, pengeluar dron DJI, serta pembuat bateri CATL.
Pada 2019, Washington melarang firma AS menjalankan perniagaan dengan Huawei, sebuah syarikat terbesar di China atas kebimbangan keselamatan negara yang dikaitkan dengan peralatannya.
Huawei menafikan dakwaan dibangkitkan bahawa penggunaan produknya membawa risiko keselamatan, sambil menegaskan ia bebas daripada kerajaan China.
