Semeja dengan Umno bantu selesai masalah, kata Hannah

hannah yeoh n johari ghani
Menteri Hannah Yeoh memuat naik gambar beliau bersama Ahli Parlimen Johari Ghani. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Hannah Yeoh daripada DAP berkata “duduk semeja” dengan seorang naib presiden Umno membantunya menyelesaikan masalah berkaitan Wilayah Persekutuan, antaranya pengendalian bazar Ramadan dan pembangunan Kampung Baru.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata beliau banyak mendapatkan pandangan Johari Ghani dalam pelbagai perkara.

Daripada pengalaman Ahli Parlimen Titiwangsa itu, Yeoh belajar bahawa mendengar pandangan yang berbeza sering menghasilkan keputusan yang lebih baik untuk rakyat.

“Akhirnya, rakyat tidak menilai sejauh mana kita berbeza. Rakyat menilai sama ada kita mampu bekerja bersama untuk menyelesaikan masalah mereka dan semuanya bermula dengan kesediaan untuk duduk semeja,” katanya di Facebook.

Yeoh menambah kekuatan sebenar seorang pemimpin ialah keupayaan bekerja dengan mereka yang berbeza, demi kepentingan rakyat, dan bukan diukur melalui siapa yang dia tolak.

Catatan Yeoh, yang juga Ahli Parlimen Segambut, menyusuli pertikaian antara pemimpin kedua-dua parti berhubung kenyataan Pengerusi Barisan Nasional Johor, Onn Hafiz Ghazi, yang berkata beliau lebih rela tidak pegang jawatan menteri besar daripada perlu duduk semeja dengan DAP.

Yeoh menerangkan bahawa 11 Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan termasuk Johari, yang juga menteri pelaburan, perdagangan dan industri, mempunyai satu kumpulan WhatsApp.

“Tiada pengasingan,” kata Yeoh, yang memuat naik gambar beliau bersama Johari.

Yeoh berkata kekuatan kerajaan yang dibina atas kerjasama ialah mendengar pandangan yang berbeza bagi menghasilkan keputusan yang lebih baik untuk rakyat.

“Itulah setiakawan. Itulah hormat,” katanya.

Author: admin