‘Buat masa ini kami kekal dengan Sanusi’, kata Adun Bersatu Kedah

Adun Bukit Kayu Hitam Halimaton Shaadiah Saad berkata setakat ini tiada arahan daripada pimpinan Bersatu untuk mengubah pendirian mereka dalam kerajaan Kedah. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Adun Bersatu Kedah akan terus berada dalam pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Sanusi Nor sementara menunggu arahan lanjut susulan keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengannya.

Adun Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad, berkata setakat ini tiada arahan daripada pucuk pimpinan Bersatu untuk mengubah pendirian mereka dalam kerajaan negeri.

“Kita akurlah yang tu (keputusan PAS). Tapi tak tahulah…sebab kita ada juga nanti pihak pimpinan bagi arahan, kita akan ikut arahan (Bersatu pusat).

“Kita pun terima kasih jugalah kat menteri besar. Tapi, kalau selepas ini apa arahan parti kita akurlah, nak kata pun tak kena lagi,” katanya yang juga pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Kedah kepada FMT.

Terdahulu, Sanusi berkata semua wakil rakyat Bersatu yang menggalas jawatan exco akan dikekalkan selagi mereka menyokong pentadbiran kerajaan negeri.

Tiga wakil Bersatu dilantik sebagai exco Kedah adalah Halimaton, Adun Kubang Rotan Mohd Salleh Saidin dan Adun Suka Menanti Dzowahir Ab Ghani.

Pada PRN lalu, Perikatan Nasional memenangi 33 daripada 36 DUN Kedah dengan PAS memperoleh 21 kerusi, Bersatu (11) dan Gerakan (1).

Berdasarkan kedudukan semasa walaupun tanpa sokongan Bersatu, PAS mampu membentuk kerajaan sendiri di Kedah apabila mempunyai kelebihan 21 Adun.

Sementara itu, Adun Kota Seputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berkata tidak timbul soal wakil rakyat Bersatu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri kerana tiada arahan sedemikian daripada parti.

Ashraf berkata, beliau dan wakil rakyat Bersatu di Kedah masih menunggu arahan kepimpinan parti sebelum membuat keputusan berkaitan kedudukan mereka dalam kerajaan negeri.

“Buat masa sekarang Bersatu pun tak ada mesyuarat lagi…kami tunggu arahan pusat, tapi kalau ikutkan di Kedah ni memang hubungan Adun okey. Kami tak ada apa-apa masalah,” katanya.

Author: admin