Belanjawan 2027: Kerajaan rangka insentif bantu PMKS guna teknologi 5G

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil berkata perbincangan dengan SKMM dan syarikat telekomunikasi akan meneliti bentuk bantuan yang mampu merancakkan digitalisasi sektor industri tempatan.

SHAH ALAM: Kerajaan sedang merangka insentif khusus dalam Belanjawan 2027 bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memanfaatkan penggunaan teknologi 5G dalam operasi perniagaan mereka.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telekomunikasi akan diadakan dalam masa terdekat bagi meneliti bentuk bantuan yang mampu merancakkan digitalisasi sektor industri tempatan.

“Saya telah minta pihak SKMM berbincang bukan hanya dengan CelcomDigi, tapi syarikat telekomunikasi lain untuk melihat aplikasi apa yang boleh dimanfaatkan.

“Jika ada perkara yang kerajaan boleh bantu menerusi insentif, maka wajar untuk kita bawa ke Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan,” katanya selepas melawat Celcom Digi Advanced Intelligent Warehouse.

Dalam pada itu, Fahmi berkata liputan 5G negara kini telah mencapai 84% kawasan berpenduduk.

“Kerajaan menyasarkan liputan 5G mencecah 98% dan 4G sebanyak 100% di kawasan berpenduduk menjelang 2030,”katanya.

Author: admin