
PETALING JAYA: Dua wanita maut selepas tercampak keluar dari kereta Perodua Myvi dinaiki selepas kenderaan itu terbabit kemalangan dengan sebuah lori rosak di Jambatan Batang Sadong di Simunjan, Sarawak pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Sarawak berkata dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan, lapor Bernama.
Menurutnya, seorang lelaki yang juga pemandu kereta mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Anggota bomba bertindak mengangkat kedua-dua mangsa ke tempat yang selamat sebelum menyerahkan mereka kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Bomba turut menjalankan kerja pembersihan sisa tumpahan minyak dan serpihan kemalangan di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan pada 9.29 pagi.
