
PETALING JAYA: Bekas presiden MCA Dr Chua Soi Lek mempertahankan pendirian Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menolak mentadbir bersama DAP, yang menurutnya dibuat dalam konteks Barisan Nasional (BN) mahu bertanding solo pada PRN.
Onn Hafiz ketika pelancaran jentera pilihan raya BN Johor semalam berkata, beliau lebih rela tidak menjadi menteri besar daripada mentadbir Johor bersama DAP yang mengundang kritikan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan penganalisis politik Tajuddin Rasdi.
Tajuddin menuduh ketua BN Johor itu mempamerkan ‘sikap perkauman’, manakala Loke membalas bahawa Presiden Umno Zahid Hamidi duduk bersebelahan dengan beliau dalam mesyuarat Kabinet setiap minggu.
Chua berkata, kenyataan Onn Hafiz tidak harus dilihat secara terpisah daripada konteks keseluruhan.
“Beliau sebenarnya mengatakan BN mahu bergerak solo berdasarkan maklum balas daripada akar umbi.
“Jadi, jika BN bertanding sendiri dan akhirnya gagal memperoleh majoriti, BN tidak akan bekerjasama dengan DAP dan sanggup berada di pihak pembangkang,” katanya.
“Bagi saya kenyataan itu penting. Namun, lebih penting ialah konteks kenyataan itu dibuat,”
Mengulas lanjut, Chua berkata sepanjang 18 tahun berkhidmat di Johor, beliau melihat Onn Hafiz sebagai antara pemimpin Umno paling sederhana pernah ditemuinya.
“Beliau antara pemimpin Umno paling liberal, sederhana dan progresif yang pernah saya jumpa.
“Beliau turun ke lapangan dan mendekati pelbagai kaum. Saya tidak akan mengatakan beliau seorang rasis.”
Mengulas kenyataan Loke, Chua berkata susunan politik di peringkat persekutuan tidak wajar disamakan secara langsung dengan politik Johor.
“Selepas PRU15, disebabkan Parlimen tergantung dan atas nasihat Yang di-Pertuan Agong ketika itu, BN dan parti lain bergabung dengan PH (Pakatan Harapan) untuk membentuk kerajaan demi mengekalkan kestabilan dan keamanan negara,” katanya.
Chua berkata, kedudukan Zahid yang duduk bersebelahan pemimpin DAP dalam Jemaah Menteri bukanlah satu pilihan politik.
“Zahid duduk di sebelah perdana menteri dan setiausaha agung DAP duduk di sebelah Zahid bukan kerana pilihan, tetapi kerana protokol dan kelaziman susunan dalam Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata, BN Johor memilih untuk mendapat mandatnya sendiri pada PRN yang diadakan susulan pembubaran DUN pada 1 Jun lalu.
“Jika akhirnya BN gagal memperoleh majoriti, BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP.
“Bagi saya, tiada unsur perkauman dalam perkara itu. Ia adalah kenyataan politik,” katanya.
