
PETALING JAYA: Seorang pemimpim Bersatu mendesak kepengerusian Perikatan Nasional (PN) dikembalikan kepada Muhyiddin Yassin.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Afif Bahardin, dalam reaksi susulan keputusan PAS menghentikan kerjasama dengan Bersatu disifatkan ‘lembaran baharu dalam perjalanan PN’.
Beliau turut menyifatkan presidennya mempunyai kredibiliti membawa agenda penyatuan Melayu yang inklusif.
“PN tidak memerlukan retorik membakar emosi. PN memerlukan seorang pemimpin mampu menyatukan, menenangkan keadaan, dan membina semula kekuatan gabungan berpaksikan prinsip serta matlamat lebih besar daripada kepentingan mana-mana parti.
“Muhyiddin bukan sekadar seorang pengasas (PN). Dalam suasana politik yang sering dipenuhi persaingan ego dan perebutan pengaruh, beliau memilih pendekatan sederhana, inklusif, dan berteraskan musyawarah,” katanya dalam catatan di Facebook.
Malam tadi, Presiden PAS Hadi Awang mengumumkan partinya yang juga komponen PN memutuskan kerjasama dengan Bersatu selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Ketetapan tersebut diumumkan selepas ia memperakukan keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun, berhubung pertimbangan dasar, hukum, dan maslahah kerjasama politik PAS.
Ketika ini, jawatan pengerusi PN disandang Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.
Afif yang juga Adun Taman Medan ketika mengulas lanjut, berkata kekuatan PN pada pilihan raya lalu tidak datang daripada satu parti semata-mata.
“Kemenangan itu lahir daripada gabungan pelbagai kelompok rakyat yang melihat PN sebagai alternatif kepada politik naungan dan kegagalan kerajaan semasa.
“Kembalikan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi PN,” katanya.
