Kerjasama awam kunci pengukuhan daya tahan negara

KL skyline
Pasukan Petugas Pengurusan Krisis berkata kerajaan akan terus beri keutamaan kepada daya tahan, bantuan bersasar, disiplin fiskal serta pengukuhan keupayaan strategik dalam bidang seperti tenaga, sekuriti makanan, logistik dan rantaian bekalan industri. (Gambar Envato Elements)

PETALING JAYA: Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) berkata pengukuhan daya tahan negara bukan hanya memerlukan campur tangan kerajaan tetapi kerjasama awam lebih kukuh ketika gangguan bekalan global semakin berpanjangan dan kompleks.

Pengerusi Hassan Marican berkata, ekonomi global berada dalam persekitaran bekalan yang agak stabil dan mencukupi sejak sekian lama, namun keadaan itu kini terganggu akibat ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi.

Hassan Marican.

“Dalam persekitaran ini, setiap penyesuaian amat penting, sama ada mengoptimumkan perjalanan, mengurangkan pembaziran elektrik dan bahan api, membina rantaian logistik yang lebih pintar, memaksimumkan pengangkutan awam, atau lebih berhemat dalam perbelanjaan isi rumah.

“Setiap peningkatan kecekapan membantu melindungi ekonomi kita daripada tekanan global berkenaan,” katanya dalam temu bual Bernama.

Beliau berkata, daya tahan bukan hanya sekadar mendapatkan lebih banyak bekalan, tetapi juga merangkumi kecekapan menggunakan sumber sedia ada, mengurangkan pembaziran serta menyesuaikan tabiat penggunaan mengikut keadaan semasa.

Katanya, apabila persaingan global terhadap sumber semakin sengit, pemuliharaan dan pengurusan sumber secara berhemat akan menjadi semakin penting bagi membantu negara menghadapi kejutan luaran.

Menurutnya, rakyat perlu menyedari pilihan seharian boleh secara kolektif mempengaruhi keupayaan negara untuk mengharungi cabaran masa hadapan.

“Setiap liter penggunaan bahan api yang tidak perlu, setiap pembelian panik dan setiap bentuk pembaziran bakal menambah tekanan kepada sistem bekalan yang sudah tertekan.

“Pada peringkat isi rumah, pengurusan kewangan yang berhemat dan membuat penyesuaian adalah amat penting. Keluarga perlu mengutamakan perbelanjaan asas, meminimumkan pembaziran, mengurus hutang secara bertanggungjawab dan merancang kewangan dengan teliti,” katanya.

PPPK yang berada di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bertanggungjawab menyelaras tindak balas kerajaan terhadap gangguan bekalan global yang dicetuskan oleh konflik di Asia Barat.

Hassan berkata, kecekapan tenaga juga memainkan peranan penting.

Beliau berkata, langkah mudah seperti mengurangkan perjalanan tidak penting, meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api dan elektrik secara kolektif mampu mengurangkan tekanan terhadap belanjawan isi rumah dan sumber negara.

Katanya, keperluan untuk menangani pembaziran makanan sepanjang rantaian bekalan juga memainkan peranan penting.

“Di Malaysia, sejumlah besar makanan masih didapati dibazirkan, termasuk makanan yang rosak atau melepasi tarikh luput sebelum ia sampai kepada pengguna.

“Dianggarkan kerugian pada peringkat pengedaran sahaja boleh mencecah kira-kira 10 peratus atau lebih, dengan lebih banyak pembaziran berlaku pada peringkat hiliran seperti premis runcit dan isi rumah,” katanya.

Hassan berkata, kerajaan akan terus memberikan keutamaan kepada daya tahan, bantuan bersasar, disiplin fiskal serta pengukuhan keupayaan strategik dalam bidang seperti tenaga, sekuriti makanan, logistik dan rantaian bekalan industri.

“Kita disokong oleh institusi yang kukuh, keupayaan tenaga domestik yang mantap, kepimpinan berpengalaman serta penyelarasan yang lancar antara industri dan kerajaan.

“Yang penting, kita telah mengharungi krisis besar sebelum ini, dan pengajaran daripada masa lampau telah mengukuhkan kapasiti tindak balas kita hari ini,” katanya.

Author: admin