
PETALING JAYA: Hasrat Upko menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggambarkan keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor serta hala tuju gabungan berkenaan dan kerajaan negeri.
Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali berkata langkah itu dilihat perkembangan positif dalam usaha menyatukan parti tempatan Sabah yang mempunyai sokongan rakyat di bawah satu gabungan.
Menurutnya, pendirian Upko menyokong Hajiji sebagai ketua menteri selepas PRN Sabah lalu mencerminkan keikhlasan parti itu untuk bersama GRS sejak awal.
“Upko juga bukan sebuah parti politik baharu, sebaliknya mempunyai legasi perjuangan panjang, khususnya dalam memperjuangkan hak dan kepentingan negeri.

“Hasrat penyertaan ini menggambarkan keyakinan Upko kepada kepimpinan Hajiji dan hala tuju GRS dan kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas satu program di Kota Kinabalu, Sabah.
Armizan menambah perkara paling penting ialah komitmen Upko berpegang kepada empat teras perjuangan GRS iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.
Beliau juga menjelaskan permohonan Upko yang disampaikan secara rasmi oleh Presidennya Ewon Benedick pada 29 Mei lalu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi GRS 18 Jun depan.
“Selaku setiausaha agung, saya sedang melaksanakan libat urus dengan kepimpinan Upko untuk mendapatkan maklumat tambahan berkaitan bagi penyediaan kertas pertimbangan untuk dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS,” katanya.
Majlis Tertinggi Upko yang bersidang pada 25 Mei lalu sebulat suara memutuskan untuk menyertai GRS.
Sebelum PRN Sabah pada November tahun lalu, Upko mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH).
Pilihan raya itu menyaksikan Upko menang 3 daripada 25 kerusi ditandingi dan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri dipimpin Hajiji.
Ewon dilantik sebagai timbalan ketua menteri dalam Kabinet Sabah.
