Porsche Taycan rempuh lobi hotel di Persiaran Gurney

KERETA LANGGAR LOBI HOTEL DI GURNEY
Gambar menunjukkan keadaan lobi sebuah hotel yang berselerak selepas dirempuh sebuah Porsche Taycan dipandu seorang wanita berusia 61 tahun. (Gambar JBPM)

GEORGE TOWN: Sebuah kereta mewah Porsche Taycan merempuh lobi sebuah hotel di Persiaran Gurney selepas pemandunya dipercayai tersilap menekan pedal minyak dan bukannya brek.

Ketua Polis Timur Laut, Abdul Rozak Muhammad berkata polis menerima laporan kejadian pada 11.15 pagi itu daripada seorang wanita berusia 61 tahun yang memandu kereta berkenaan.

Katanya, pemandu itu memaklumkan kepada polis bahawa beliau melawat keluarganya di hotel berkenaan dan mahu meninggalkan premis apabila insiden berlaku.

“Pemandu itu mendakwa tersilap menekan pedal minyak, menyebabkan kereta merempuh lobi hotel,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan tidak cermat.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Gambar tular menunjukkan Porsche Taycan itu berada di dalam kawasan lobi hotel, dengan kaca pecah, panel dinding rosak serta serpihan bertaburan di kawasan kafe.

Sebahagian siling dan perabot turut dilaporkan mengalami kerosakan.

Author: admin