
PETALING JAYA: Malaysia perlu bergerak ke arah membenarkan kerajaan negeri dan persekutuan mencorakkan hala tuju masing-masing, kata seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
Sharkar Shamsudin berkata, negeri-negeri patut dibenarkan membentuk dasar berdasarkan keperluan tempatan, manakala kerajaan persekutuan memberikan tumpuan pada isu-isu nasional.
Katanya, autonomi yang lebih besar akan menjadikan kerajaan negeri lebih peka dalam bidang-bidang seperti pembangunan ekonomi, kebajikan dan pengurusan sumber.
“Kerajaan pusat tetap memainkan peranan penting sebagai pengimbang, memastikan dasar utama negara tidak bercanggah dengan kepentingan keseluruhan,” katanya, lapor Utusan Malaysia.
“Transformasi ini bukan bermaksud perpecahan, tetapi satu bentuk kematangan politik yang membolehkan (kerajaan) negeri dan pusat bergerak dengan identiti masing-masing, namun tetap berpadu dalam hal-hal besar.”
Malaysia mengamalkan sistem persekutuan. Kuasa-kuasa utama berkaitan percukaian, pendidikan, kesihatan dan dasar-dasar penting kekal di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan. Hal ini sekian lama mencetuskan perdebatan mengenai sejauh mana negeri-negeri harus miliki autonomi.
Isu autonomi negeri paling ketara di Sabah dan Sarawak, di mana para pemimpinnya terus mendesak hak-hak mereka di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalikan.
Sharkar membuat perbandingan dengan sistem persekutuan yang matang di luar negara, menyatakan bahawa di Amerika Syarikat, Jerman dan Australia, negeri-negerinya mempunyai kuasa autonomi yang luas dalam bidang-bidang seperti pendidikan, kesihatan dan percukaian, namun masih kekal di bawah satu kerangka nasional.
“Perbezaan antara (kerajaan) negeri dan pusat bukanlah kelemahan, sebaliknya satu kekuatan yang boleh melahirkan kepelbagaian idea dan dasar yang lebih sesuai dengan realiti tempatan.
“Ini akan menjadikan politik Malaysia lebih dinamik, dengan rakyat negeri merasakan mereka mempunyai kuasa sebenar dalam menentukan hala tuju politik dan pembangunan,” katanya.
