PPP mahu tanding 2 kerusi DUN di PRN Johor, Negeri Sembilan

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) J Loga Bala Mohan (duduk empat dari kiri) selepas mesyuarat ahli majlis tertinggi parti itu di Johor Bahru. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Parti Progresif Penduduk (PPP) berhasrat untuk bertanding di dua kerusi DUN masing-masing pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, kata presidennya J Loga Bala Mohan.

Beliau berkata, mengenai hasrat untuk bertanding di PRN Johor, perkara itu disampaikan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Onn Hafiz Ghazi dalam satu pertemuan semalam.

Bagaimanapun, katanya, PPP akan menerima apa juga keputusan yang dibuat oleh kepimpinan gabungan berkenaan, lapor Bernama.

“Kami bagi menteri besar (Onn Hafiz) ruang untuk buat keputusan.

“Kita ada persefahaman dengan mereka (BN) dan kita akan selesaikan secara konsensus, kami tidak akan membuat sebarang tuntutan (sekiranya tidak diberi kerusi),” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PPP kali keenam di Johor Bahru.

Loga yang akan mengetuai jentera PPP di Johor berkata parti itu akan membantu BN, sepanjang kempen PRN berkenaan.

Mengenai hasrat untuk bertanding di dua kerusi DUN di PRN Negeri Sembilan, Loga berkata, perkara itu masih belum dibincangkan dengan kepimpinan BN Negeri Sembilan dan akan dirundingkan pada peringkat seterusnya.

Author: admin