Mahkamah Tinggi batal skim ‘Ali Baba’, tolak tuntutan RM538,000

kompleks mahkamah alor setar
Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan Alor Setar Development Corporation Sdn Bhd dan mengetepikan penghakiman RM538,000 yang sebelum ini memihak kepada EE Engineering Sdn Bhd. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi di Alor Setar membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang sebelum ini mengarahkan sebuah kontraktor Bumiputera membayar RM538,000 kepada subkontraktornya, selepas mendapati kontrak antara kedua-dua pihak melibatkan aturan ‘Ali Baba’ yang menyalahi undang-undang.

Hakim Johan Lee turut memutuskan perjanjian antara Alor Setar Development Corporation Sdn Bhd (ASDC) dan EE Engineering (Malaysia) Sdn Bhd bagi pembinaan sebuah sekolah bertentangan dengan dasar awam, sekali gus terbatal mengikut Seksyen 24 Akta Kontrak 1950.

Beliau berkata mahkamah perbicaraan melakukan kekhilafan asas dari segi fakta dan undang-undang.

“Bukti objektif dengan jelas menunjukkan bahawa aturan subkontrak itu adalah skim ‘Ali Baba’ yang menyalahi undang-undang, bertujuan memintas dasar perolehan kerajaan,” katanya.

Hakim itu turut memutuskan EE Engineering tidak boleh bergantung kepada alasan pengayaan tidak adil atau tuntutan bayaran setimpal bagi kerja yang dilakukan, kerana kedua-duanya tidak dinyatakan dalam pliding syarikat itu.

“Tanpa pliding sedemikian, prinsip ketat berhubung ketidaksahan yang terkandung dalam maksim ex turpi causa non oritur actio mesti terpakai.

“Mahkamah tidak akan membantu menguatkuasakan kontrak yang menyalahi undang-undang dan kerugian perlu ditanggung pihak yang menanggungnya,” katanya dalam penghakiman 28 muka surat baru-baru ini.

EE Engineering sudah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Pertikaian itu bermula selepas ASDC, pemegang lesen CIDB G5, dianugerahkan projek pembinaan sekolah dan melantik EE Engineering untuk melaksanakan kerja berkenaan.

EE Engineering kemudian menyaman ASDC bagi menuntut baki bayaran selepas menyiapkan projek itu.

ASDC menentang tuntutan berkenaan dengan berhujah bahawa aturan tersebut adalah skim ‘Ali Baba; yang menyalahi undang-undang, di mana ia hanya meminjamkan lesen Bumiputeranya dengan komisen tetap 2%.

ASDC berkata EE Engineering membiayai, mengawal dan melaksanakan keseluruhan projek itu.

Mahkamah Sesyen sebelum ini menolak pembelaan ASDC dan memasukkan penghakiman yang memihak kepada EE Engineering.

Dalam membenarkan rayuan itu, Mahkamah Tinggi mendapati bukti dokumen dan keterangan saksi menunjukkan EE Engineering menentukan harga tender, melaksanakan kerja, serta membayar komisen tetap 2% kepada ASDC semata-mata bagi menggunakan lesennya.

Mahkamah memutuskan aturan itu bertujuan memintas dasar perolehan Bumiputera, yang melarang penyerahan subkontrak secara menyeluruh.

Keputusan itu bermakna EE Engineering tidak boleh mendapatkan bayaran bagi kerja yang telah dilakukannya.

Peguam Faiz Fadzil dan Faizal Abdullah mewakili ASDC, manakala R Megalai mewakili EE Engineering.

Author: admin