Jangan ‘bergesaran’ dengan BN, Anwar beritahu PH

Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan di Batu Pahat, Johor malam tadi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim menasihati ahli parti komponen itu supaya bekerja dengan tenang dan tidak bergesaran dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor tidak lama lagi.

Anwar yang juga perdana menteri berkata perbalahan ketika pilihan raya ‘memeningkan kepala’ kerana PH dan BN adalah rakan dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

“Hari ini kita berlawan dengan Umno, BN. Hari Rabu, mesyuarat Jemaah Menteri. Kita bersebelah. Bersama-sama. Pening kita,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH bagi PRN Johor di Batu Pahat.

Anwar juga berkata, pilihan raya itu bukan pilihan beliau kerana beliau mahu terus bekerja sama untuk kepentingan rakyat.

“Ini bukan pilihan saya. Pilihan saya, terus kerjasama, jaga negeri ini. Pilihan saya, tangguh semua pilihan raya dan tumpu kerja tumpu, selamatkan ekonomi rakyat.

“Sepertimana kata Mat Sabu (Presiden Amanah Mohamad Sabu), nak kawan, kita kawan. Nak lawan, kita lawan,” katanya.

PRN Johor perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN Negeri itu dibubarkan pada 1 Jun lalu.

Dalam PRN Johor pada Mac 2022, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN. PH memenangi 12 kerusi, manakala Perikatan Nasional memperoleh tiga kerusi dan Muda kerusi.

BN Johor mengumumkan bahawa ia akan bertanding di semua 56 kerusi, sekali gus mendorong PH Johor turut mengisytiharkan bahawa gabungan itu akan bertanding di semua kerusi yang dipertandingkan.

Author: admin