Tiada perubahan jadual, Sidang Dewan Rakyat 22 Jun diteruskan

dewan rakyat
Berdasarkan takwim rasmi Parlimen, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 dijadualkan berlangsung selama 16 hari bermula dari 22 Jun hingga 16 Julai ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang dijadualkan bermula pada 22 Jun ini, akan diteruskan mengikut takwim yang ditetapkan, menurut Pejabat Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Perkara itu disahkan kepada Bernama hari ini yang memaklumkan tiada sebarang perubahan pada jadual persidangan Dewan Rakyat.

“Setakat ini, tiada sebarang perubahan pada jadual persidangan Dewan Rakyat yang telah dipaparkan dalam takwim rasmi Parlimen,” menurut Pejabat Speaker Dewan Rakyat.

Berdasarkan takwim menerusi portal Parlimen, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 dijadualkan berlangsung selama 16 hari bermula dari 22 Jun hingga 16 Julai ini.

Mesyuarat pertama Dewan Rakyat berakhir pada 3 Mac lepas, setelah bersidang selama 20 hari.

Sebelum ini, timbul khabar angin mendakwa persidangan Dewan Rakyat ditiadakan bagi memberikan laluan kepada pelaksanaan pilihan raya di beberapa negeri di Semenanjung.

Pada Isnin lepas, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi, berkuat kuasa pada 1 Jun setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Semalam, Menteri Besar Negeri SembilanAminuddin Harun pula mengumumkan DUN Negeri Sembilan, yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi dibubarkan hari ini setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Author: admin