Setiap sen kena bayar, kata pengerusi Mara

asyraf wajdi dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mara tidak mempunyai hak untuk berkompromi atau memaafkan peminjam culas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki berikrar tidak akan kompromi terhadap pelajar culas membayar balik pinjaman pelajaran, sambil menegaskan dana didahulukan merupakan wang amanah rakyat.

Beliau berkata, sejak memegang jawatan sebagai pengerusi, tindakan sehingga ke mahkamah terhadap peminjam culas menjadi antara keutamaan bagi memastikan setiap sen dana awam diperoleh semula untuk disalurkan kembali demi manfaat pihak lain yang memerlukan.

“Arahan Majlis Mara kepada pihak pengurusan amat jelas, jangan dilayani surat-surat mohon pengecualian hatta daripada pihak-pihak berpengaruh walau setinggi mana kedudukan mereka,” katanya dalam catatan di Facebook.

Asyraf berkata, ada segelintir pihak mempertikaikan keputusan Mara membawa peminjam culas ke mahkamah.

“Ini bukan hak kita untuk berkompromi atau memaafkan peminjam culas kerana setiap sen disalurkan sebagai pinjaman merupakan wang amanah rakyat.”

Kenyataannya dibuat sehari selepas Mahkamah Tinggi Sungai Petani menolak rayuan seorang wanita dan tiga penjaminnya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membayar balik pinjaman pelajaran RM857,000 kepada Mara.

Dalam kes itu, wanita berkenaan menerima pinjaman pertama Mara pada 2011 untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Manchester, dan pinjaman kedua pada 2013 bagi program PhD di Universiti Cambridge.

Mahkamah mengekalkan terma surat tawaran dan perjanjian pinjaman Mara 2013, yang memerlukan wanita itu menamatkan pengajian PhD dalam tempoh empat tahun.

Wanita tersebut gagal menamatkan pengajiannya walaupun selepas diberikan pelanjutan masa. Mahkamah memutuskan kegagalannya menyelesaikan program tersebut dalam tempoh ditetapkan termasuk tempoh pelanjutan merupakan satu pelanggaran kontrak.

Author: admin