Sekatan akses MyKhas tak jejas hak wakil rakyat, tegas Fahmi

Fahmi Fadzil
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, kata penduduk Subang dan Petaling Jaya masih boleh kemuka permohonan bantuan melalui saluran disediakan. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, menegaskan sekatan akses terhadap portal MyKhas bagi Ahli Parlimen Petaling Jaya dan Subang tidak menjejaskan hak mereka sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata peruntukan disalurkan menerusi laman MyKhas adalah peruntukan khas perdana menteri, dan tidak melibatkan sebarang kemudahan atau hak lain yang diberikan kepada wakil rakyat melalui Parlimen.

Fahmi turut berkata penduduk di kedua-dua kawasan Parlimen itu masih boleh mengemukakan permohonan bantuan melalui saluran disediakan.

“Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) telah membuat kenyataan bahawa penduduk di kedua-dua Parlimen masih boleh membuat permohonan yang akan diteliti oleh pihak ICU JPM untuk diluluskan.

“Jadi tidak timbul isu mengenai aspek dari segi permohonan dan peruntukan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri.

Fahmi mengulas dakwaan Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung bahawa pejabat mereka tidak dapat mengakses sistem MyKhas, sekali gus menjejaskan urusan permohonan peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi kawasan masing-masing.

Semalam, ICU JPM memberi jaminan bahawa segala bentuk peruntukan kepada rakyat akan terus disalurkan dan dikendalikan secara langsung bagi memastikan kebajikan mereka tidak terjejas.

Agensi penyelaras itu turut memaklumkan peranannya akan terus dijalankan dengan penuh tertib bagi memastikan pelaksanaan program dan inisiatif kerajaan berjalan lancar, tersusun serta memberikan manfaat kepada masyarakat.

Author: admin