
PETALING JAYA: Sarawak merancang untuk menubuhkan liga bola sepak bagi memperkukuh pembangunan akar umbi dan mewujudkan ekosistem bola sepak yang lebih mampan di negeri itu, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah.
Katanya, kementerian sedang bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Sarawak, Persatuan Bola Sepak Kuching City (KCFC) dan rakan kongsi korporat untuk membangunkan sistem liga yang berstruktur, merangkumi pertandingan mengikut peringkat umur di peringkat daerah, bahagian, dan negeri.
Menurutnya, sistem liga tempatan yang kuat akan membolehkan kelab-kelab seperti KCFC muncul di bahagian-bahagian lain seperti Sibu dan Bintulu.
“Peranan kami adalah pembangunan,” katanya lapor Dayak Daily.
Karim berkata kemajuan pesat KCFC dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, yang menyaksikan ia mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali pertama dan layak ke Liga Juara-juara AFC Dua, adalah kerana pengurusan yang baik.
“Walaupun berjuta-juta ringgit dibelanjakan, kejayaan tidak akan datang tanpa pengurusan yang betul,” katanya.
