
PETALING JAYA: Amanah bercadang berunding dengan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajui bekas pemimpin PKR Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad bagi menghadapi PRN Johor.
Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, berkata inisiatif itu bagi memastikan tiada pertembungan kerusi antara Bersama dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH).
“Kita raikan hasrat Bersama mahu tanding PRN Johor. Amanah akan usaha berunding dengan Bersama supaya tak berlaku pertembungan kerusi melibatkan banyak parti dan melihat peluang yang ada untuk bentuk kerajaan atas semangat reformasi,” katanya kepada FMT.
Beliau juga memaklumkan inisiatif itu ‘direstui’ pucuk pimpinan Amanah.
Rabu lalu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan Bersama akan bertanding PRN Johor, sambil memaklumkan perbincangan lanjut diadakan dengan wakilnya di negeri itu bagi mengenal pasti kerusi ditandingi.
Susulan pengumuman itu, penganalisis politik meramalkan Bersama akan ‘memakan’ undi PH dan memecahkan lagi undi Melayu, sekali gus mencetuskan persaingan sengit antara blok politik utama.
DUN Johor dibubarkan pada Isnin lalu bagi membuka laluan kepada PRN ke-16 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
BN sebelum itu membentuk kerajaan negeri dengan menguasai 40 daripada 56 kerusi dimenangi pada PRN 2022. PH pula menang 12 kerusi, manakala PN memperoleh (3) dan Muda (1).
Dalam pada itu, Faiz berkata Amanah turut menyasarkan bertanding lebih 20 kerusi termasuk Puteri Wangsa yang diberikan kepada Muda pada PRN lalu dan pimpinan PH sudah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
Katanya, proses agihan kerusi antara rakan komponen PH sudah 90% selesai dengan hanya beberapa DUN perlu diteliti semula supaya ia dapat dimenangi PH.
Sementara itu, Ketua PKR Johor, Dr Zaliha Mustafa, berkata PH tidak pernah mengadakan perbincangan untuk berunding dengan Bersama.
Beliau tidak menolak kemungkinan inisiatif itu hanya dibincangkan di peringkat kepimpinan Amanah.
“PH tak pernah dibincangkan (mahu berunding dengan Bersama),” katanya ketika dihubungi.
