
PETALING JAYA: Pasport Malaysia baharu dengan tempoh sah laku sehingga 10 tahun ditetapkan pada bayaran RM350, menurut warta kerajaan yang dikeluarkan semalam.
Menurut warta ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, individu berumur 60 tahun ke atas hanya dikenakan bayaran RM175.
Pasport dikeluarkan secara percuma kepada pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU).
Ketika ini, rakyat Malaysia dikenakan bayaran RM200 untuk pasport dengan tempoh sah laku lima tahun, manakala RM100 untuk warga emas.
Warta itu turut menetapkan kadar bayaran bagi menggantikan pasport yang rosak atau hilang, termasuk RM550 bagi penggantian pertama untuk warganegara berumur 13 hingga 59 tahun, meningkat daripada RM400 sebelum ini.
Penggantian kali kedua dikenakan RM850, manakala penggantian seterusnya RM1,350.
Bagi warga emas, penggantian pertama ialah RM375, kedua RM675 dan seterusnya RM1,175.
Pemegang kad OKU pula akan dikenakan RM200 untuk penggantian pertama, RM500 untuk kali kedua, dan RM1,000 bagi penggantian berikutnya.
