Saya tak akan kembali ke politik, tegas Marina

marina ibrahim
Pada Ahad lalu, Marina Ibrahim mengumumkan beliau akan berundur dari politik dan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Skudai yang disandangnya. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Penyandang kerusi DUN Skudai, Marina Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan kembali ke arena politik walaupun menerima beberapa tawaran menjelang PRN Johor akan datang.

Ahad lalu, Marina yang berkhidmat selama satu penggal sebagai wakil DAP di DUN Skudai itu, mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi itu pada PRN akan datang dan meninggalkan dunia politik.

“Ada parti-parti lain yang mendekati saya, namun saya menolak tawaran itu dengan penuh hormat.

“Saya tidak akan kembali ke dunia politik. Saya percaya masih banyak cara untuk membantu masyarakat dan ia tidak semestinya melalui peranan sebagai ahli politik,” katanya yang dipetik Berita Harian sebagai berkata.

Selepas pengumuman Marina bahawa beliau meninggalkan politik, Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, mendedahkan bahawa parti itu merancang untuk memindahkan Marina di kerusi Tiram.

Teo turut berkata beliau berhasrat mencadangkan Marina sebagai pengerusi sebuah badan berkanun tanpa mengira keputusan pilihan raya itu.

DUN Johor dibubarkan pada Isnin lalu, sekali gus membuka laluan kepada PRN Johor ke-16 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang.

Author: admin