Bersama masuk gelanggang PRN Johor

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengambil alih Bersama selepas meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa.

PETALING JAYA: Parti Bersama Malaysia (Bersama) akan bertanding dalam PRN Johor akan datang, umum Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam kenyataan, bekas pemimpin PKR berkata perbincangan lanjut akan diadakan hari ini bersama wakil Bersama di Johor bagi mengenal pasti kerusi ditandingi parti itu.

“PRN Johor 2026 membuka ruang untuk memperkenalkan Bersama kepada pengundi Johor, walaupun Bersama berusia kurang dari sebulan sejak dilancarkan semula pada 17 Mei lalu.

“Penyertaan Bersama dalam PRN Johor juga membolehkan Bersama membina jentera pilihan raya dalam tempoh singkat dan menguji kecekapan serta kelemahan jentera, sebagai persiapan ke arah pilihan raya akan datang,” kata mereka.

Kedua-dua bekas menteri itu turut mengumumkan Bersama akan memulakan jelajah seluruh negara bagi memberi perhatian kepada agenda utama parti, dengan Melaka menjadi destinasi pertama pada 7 Jun ini.

Jelajah itu turut melibatkan Negeri Sembilan, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Kuala Lumpur.

Rafizi dan Nik Nazmi mengambil alih Bersama selepas meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa, sebelum keluar daripada PKR.

DUN Johor dibubarkan Isnin lalu, sekali gus membuka laluan kepada PRN ke-16 diadakan dalam tempoh 60 hari.

Author: admin