
PETALING JAYA: Bersatu tiada hak menghalang PAS menentukan hala tuju mereka, jika bergerak solo pada PRU akan datang boleh menguntungkan perpaduan Melayu.
Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, berkata parti itu percaya ada banyak parti lain akan bersama mereka, walaupun tanpa PAS.
“Kalau itu pendirian PAS, kalau itu yang mereka fikir boleh untungkan perjuangan dan perpaduan orang Melayu dan sebagainya, apa daya kami lagi? Kita pun tidak boleh cakap apa. Tetapi saya percaya ramai lagi akan bersama dengan kami,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, mencadangkan kedua-dua parti itu bergerak secara berasingan dalam pilihan raya susulan pertikaian mengenai kekuatan jentera parti dalam PN.
“Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihan raya,” katanya semalam sambil menambah tiada harapan untuk kerjasama harmoni jika kenyataan bahawa Bersatu tiada jentera disifatkan sebagai pandangan ‘pekak’.
Pada 22 Mei lalu, Presiden PAS, Hadi Awang, mendakwa Bersatu hanya menuntut jumlah calon pada PRK dan PRN, tetapi tidak mempunyai jentera mencukupi untuk berkempen.
Faizal yang juga dikenali Peja berkata, parti yang berhasrat mentadbir negara tidak boleh bergerak solo, sebaliknya perlu bekerjasama dengan parti politik lain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memiliki hala tuju perjuangan sama.
“PN sudah diterima ramai orang Melayu, malah menjadi harapan orang Melayu sehingga mampu memperoleh jumlah kerusi banyak pada PRU15, tetapi kalau itulah keputusan (bergerak solo) yang dibuat PAS, Bersatu terima.”
