
PETALING JAYA: Selain pemuliharaan artifak, muzium perlu menjadi pusat kajian dan intelektual, titah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Memetik contoh Pahang, Tunku Azizah bertitah, usaha telah dilakukan untuk menjana ilmu baharu melalui penyelidikan, dialog, penerbitan serta kerjasama rentas disiplin dan institusi.
Menurut baginda, langkah penting ke depan ialah penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah oleh Muzium Diraja Pahang, di mana penyelidikan berkaitan Pahang dalam konteks sejarah Melayu dan dunia, serta peranan Islam sedang dijalankan.
“Kami berharap dapat melahirkan generasi baharu sarjana, penyelidik, kurator dan anak muda Malaysia yang bukan sahaja berilmu serta berkemahiran, tetapi juga berlandaskan nilai, etika, identiti serta cintakan tamadun itu sendiri.”
Tunku Azizah dalam ucapannya kepada penceramah, sarjana, profesional muzium dan peserta dari seluruh Asia-Pasifik di International Council of Museums Asia-Pacific Symposium 2026, menegaskan terdapat usaha mengantarabangsakan kajian sejarah dan tamadun Pahang untuk meletakkannya dalam naratif dunia Melayu serta sejarah global lebih luas.
“Muzium mesti kekal dinamik, menarik dan hidup secara intelektual. Pameran harus berkembang, idea perlu dikongsi dan institusi harus sentiasa belajar antara satu sama lain.”
Baginda bertitah, orang ramai tidak perlu takut bertukar idea, mencontohi pendekatan berjaya atau memodenkan pengalaman muzium sambil memelihara keaslian dan tradisi.
“Muzium bukan dibuka untuk keuntungan semata-mata; ia tentang pengetahuan, ingatan dan warisan.”
Menurut baginda, satu warisan penting ialah Hukum Kanun Pahang.
“Hukum Kanun Pahang ialah salah satu khazanah terbesar negeri ini, saksi kepada kecanggihan tamadun Melayu dan antara warisan paling berharga yang mesti kita pelihara, kaji serta kongsi dengan dunia.”
Tunku Azizah bertitah, sebelum kedatangan kuasa Eropah, dunia Melayu memiliki sistem pemerintahan, diplomasi, perdagangan, undang-undang dan tamadun yang canggih.
“Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang menjadi bukti kepada realiti ini. Ia mengingatkan kita bahawa nenek moyang kita bukan sekadar pemerintah wilayah, tetapi juga arkitek tamadun. Mereka mentadbir melalui sistem yang berakar kepada Islam, adat, etika, keadilan dan tanggungjawab.
“Orang Portugis mempunyai salinan Hukum Kanun Melaka dan menghantarnya ke Perpustakaan Vatican, di mana ia masih terpelihara hingga kini.”
Tetapi, manuskrip Hukum Kanun Pahang yang disimpan di Muzium Diraja Pahang, ditulis pada awal abad ke-17, mendahului salinan di Vatican, yang disalin pada akhir abad ke-17.
Tunku Azizah bertitah, dalam banyak cara, teks perundangan ini boleh dianggap “Magna Carta” dunia Melayu, manuskrip perundangan asas yang merumuskan pemerintahan, keadilan, tanggungjawab dan hubungan antara pemerintah dengan masyarakat dalam tradisi perlembagaan Melayu-Islam tersendiri.
Mengimbau pengalamannya sendiri mendengar sejarah lisan dalam tembok istana — kisah pemerintah, diplomasi, pengorbanan dan pengabdian daripada generasi terdahulu — baginda memahami ingatan itu sendiri merupakan satu bentuk pemeliharaan.
“Muzium memelihara objek, tetapi keluarga, komuniti dan pencerita memelihara makna,” menekankan kepentingan sejarah lisan.
“Ini sangat penting, khasnya bagi generasi muda. Dalam dunia yang pantas berubah, ramai berisiko terputus hubungan dengan asal usul mereka.
“Bangsa tanpa ingatan adalah bangsa yang akhirnya mungkin hilang jati diri mereka. Oleh itu, muzium mempunyai tanggungjawab suci: bukan saja untuk memelihara masa silam, tetapi juga membantu generasi akan datang memahami siapa mereka.”
