Himpunan ‘Daulat Tuanku’ selaras pendirian kerajaan Selangor, kata exco

Najwan Halimi
Exco Selangor Najwan Halimi menyambut baik objektif perhimpunan ‘Daulat Tuanku’ pada Sabtu ini dan berharap ia berlangsung secara aman serta tidak mengganggu ketenteraman awam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Himpunan ‘Daulat Tuanku’ anjuran Pemuda PAS Selangor pada Sabtu ini selaras pendirian konsisten kerajaan negeri dalam mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu dan kedaulatan institusi diraja, kata Najwan Halimi.

Exco belia, sukan dan keusahawanan Selangor itu menyambut baik objektif himpunan itu dan berharap ia berlangsung secara aman serta tidak mengganggu ketenteraman awam.

“Saya telah berhubung dengan ketua polis Selangor dan memohon pihak polis memudah cara himpunan ini agar berjalan dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya dalam kenyataan.

Adun Kota Anggerik itu mengulas himpunan yang dijadualkan berlangsung di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, Selangor pada 5 petang Sabtu ini.

Semalam, Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar dilaporkan berkata, himpunan itu dianjurkan susulan beberapa tindakan dan kenyataan pemimpin DAP yang didakwa tidak menghormati kedaulatan institusi diraja Selangor.

Katanya, sekretariat akan membuat pemakluman rasmi kepada polis Selangor berhubung penganjuran himpunan itu.

Author: admin