Peniaga mengeluh rugi akibat ‘banjir terburuk’ landa Medan Selera 223

Pengusaha gerai nasi ayam Che Adin Ahmad dibantu beberapa individu angkat peti ais yang rosak akibat banjir kilat semalam.

PETALING JAYA: Peniaga di Medan Selera 223 mendakwa semakin buntu apabila banjir kilat melanda kawasan itu buat kali keempat sepanjang kira-kira sebulan ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang semalam, hujan lebat selama hampir 20 minit menyebabkan air naik mendadak hingga menenggelami beberapa gerai sebelum surut tidak lama kemudian.

Kejadian banjir kilat dikatakan mencecah ketinggian 1.2m yang melanda medan selera terletak di Jalan 51A/223 itu turut tular di media sosial.

Che Adin Ahmad
Che Adin Ahmad.

Pengusaha gerai nasi ayam Che Adin Ahmad menyifatkan kejadian semalam sebagai antara paling buruk pernah dialaminya sepanjang lebih 10 tahun berniaga di situ.

“Dalam bulan ini saja sudah empat kali banjir, tapi kali ini paling teruk sampai peti ais terapung,” kata peniaga berusia 74 tahun itu kepada FMT.

“Semalam ketika kejadian, isteri saya yang menghidap strok tidak mampu berjalan, terpaksa tunggu sehingga bomba datang untuk selamatkan.”

Che Adin menganggarkan mengalami kerugian lebih RM2,000, termasuk kerosakan barangan, perkakas elektrik dan stok perniagaan seminggu, selain kos membaiki peti ais gerainya akibat kejadian banjir yang lepas.

Sementara itu, pengusaha gerai nasi campur, Harliza Harun, 50, berkata beliau kerugian hampir RM2,000 akibat kerosakan barangan elektrik dan peralatan perniagaan.

Peniaga di Medan Selera 223 dakwa banjir kilat yang berlaku semalam adalah yang terburuk sepanjang bulan ini.

Menurutnya, beliau sempat mengalihkan kereta ke kawasan lebih tinggi selepas melihat air mula naik, namun banyak barang di gerainya gagal diselamatkan.

“Sebelum ini, banjir pernah berlaku, tapi tak seteruk semalam,” katanya yang sudah enam tahun berniaga di situ.

“Barangan elektrik semua kena air dan sampai sekarang saya takut nak ‘on’ lagi, elak rosak lebih teruk.”

Kedua-dua peniaga itu mendakwa sudah ada dibuat berhubung masalah banjir di kawasan itu, namun kejadian terus berulang terutama ketika hujan lebat.

Author: admin