
PUTRAJAYA: Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli, tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berkait satu urusan kerajaan.
Rafizi, yang tiba pada 9.30 pagi, sempat menyapa orang awam yang hadir menyatakan solidariti kepadanya.
Hampir 50 orang, termasuk Ahli Parlimen Subang dari PKR, Wong Chen, berkumpul di luar pekarangan Ibu Pejabat SPRM bagi menunjukkan sokongan mereka.
“InsyaAllah, kita akan melalui proses. Dan kita tidak ada apa mahu disembunyikan…dan kalau ia berakhir di mahkamah, saya yakinlah kita ada kes yang cukup kuat di mahkamah nanti,” katanya kepada pemberita.
Rafizi turut mendedahkan beliau telah melantik pasukan guaman terdiri lima peguam untuk mewakilinya berhubung perkara tersebut. Beliau memasuki ibu pejabat itu sekitar 9.43 pagi.
Sebelum ini, SPRM mengesahkan Rafizi akan memberi keterangan hari ini bagi membantu siasatan berkait perjanjian perkongsian strategik bernilai RM1.1 bilion dalam industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan Arm Holdings.
Bekas pembantu Rafizi, James Chai, telah disoal siasat SPRM selama tiga hari pada minggu lalu.
BERITA LANJUT MENYUSUL
