Selangor hampir capai sasaran tanam 11 juta pokok, kata exco

hutan tree
Sasaran penanaman 11 juta pokok di Selangor tidak hanya tertumpu kepada kawasan hutan, kata Exco Jamaliah Jamaluddin. (Gambar fail)

SHAH ALAM: Selangor di landasan tepat untuk mencapai sasaran penanaman 11 juta pokok apabila lebih 8 juta batang pokok telah berjaya ditanam setakat ini.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata jumlah terkini itu mencecah 8,050,011 pokok hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta komuniti.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 2.5 juta pokok ditanam oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), manakala lebih 5.5 juta lagi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT),” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Beliau menjawab soalan lisan Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid (PH-Batu Tiga) mengenai jumlah pokok telah berjaya ditanam menerusi strategi sasaran penanaman 11 juta pokok.

Jamaliah Jamaluddin
Jamaliah Jamaluddin.

Mengulas lanjut, Jamaliah berkata kejayaan itu didorong pendekatan menyeluruh kerajaan negeri yang menggembleng penyertaan pelbagai pihak termasuk sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menurutnya, usaha penanaman tidak hanya tertumpu di kawasan hutan, malah diperluaskan ke kawasan bandar, tebing sungai dan pesisir pantai sebagai sebahagian agenda penghijauan negeri.

“Bagi memastikan sasaran tercapai, setiap PBT, PDT serta agensi kerajaan diseru menanam kira-kira 100,000 pokok setahun mulai 2026,” katanya.

Dalam masa sama, Jamaliah memberi jaminan aspek keselamatan turut diberi perhatian, khususnya membabitkan pokok berisiko di kawasan awam.

Katanya, JPNS dan PBT menjalankan pemantauan serta penyelenggaraan berkala terhadap pokok di bawah seliaan masing-masing, termasuk mengambil tindakan ke atas pokok berbahaya terutama di kawasan hutan simpan dan sepanjang jalan raya.

“PBT juga berpandukan Garis Panduan Landskap Negara bagi memastikan pemilihan spesies dan kaedah penjagaan yang sesuai demi keselamatan dan kesihatan pokok,” katanya.

Author: admin